Isu LTTE: Exco Melaka, Adun DAP ditahan polis

  • 5 years ago
Polis menahan exco Melaka G Saminathan dan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seremban Jaya P Gunasekaran atas dakwaan mempunyai hubungan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antikeganasan, Cawangan Khas Bukit Aman, Ayub Khan Mydin Pitchay mengesahkan penahanan dua pemimpin DAP itu.

Kedua-dua mereka dipercayai ditahan pagi ini.

Maklumat juga tersebar di Whatsapp bahawa Saminathan, yang juga Adun Gadek, ditahan di pejabatnya dan digari.

Malaysiakini bagaimanapun tidak dapat mengesahkan perkara itu.

Sumber-sumber mengesahkan dengan Malaysiakini bahawa mereka berdua ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma.

Akta itu membenarkan penahanan selama 28 hari.

Ketua Menteri Melaka Adly Zahari juga dilaporkan mengesahkan terdapat exconya ditahan polis tetapi tidak menjelaskan sebab penahanan itu.