Populariti PH tidak merosot, yakin Azmin
  • 5 years ago
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak gusar dengan kajian Merdeka Centre yang mendapati populariti Pakatan Harapan (PH) merosot 35 peratus setakat Ogos lalu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata, apa yang dilaporkan badan itu hanya kaji selidik dan percaya rakyat masih percaya kepada PH yang masuk tahun kedua menjadi kerajaan.


“Itu hanya kaji selidik, kita selalu guna kaji selidik sebagai panduan terhadap beberapa isu dan sentimen rakyat.

“Saya percaya secara keseluruhannya, rakyat percaya PH adalah kerajaan yang betul dan kita akan terus mendapat sokongan, insya-Allah,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, laporan sebuah portal berita menyiarkan laporan PH meraih populariti 87 peratus ketika merampas Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN) pada Mei tahun lalu, dan peratus itu mulai merudum hingga 35 peratus.

Berdasarkan statistik Merdeka Center, setakat Ogos lalu, populariti PH dalam kalangan pengundi Cina dan India jatuh ke 41 peratus, manakala 30 peratus pengundi Melayu masih menyokong gabungan itu.