1,000 super dron penumpang bakal rancakkan pengangkutan awam di Indonesia

  • 5 years ago
Indonesia bakal menjadi negara Asia pertama yang menggunakan super dron penumpang secara komersil sebagai pengangkutan awam bagi menghubungkan penduduk di luar bandar dan ribuan pulau di negara republik itu.

Lebih membanggakan apabila syarikat dari Malaysia, EastCap Berhad bakal menjadi pelopor revolusi pengangkutan awam di Indonesia itu yang kini menjadi rakan strategik pengeluar super dron dari China, iaitu EHang Intelligent Equipment di Guangzhou dan Strong Rich Holdings Limited.

Walaupun super dron ini baru diperkenalkan di Malaysia untuk kegunaan kerajaan dan pihak berkuasa, namun pengangkutan mudah alih itu sudah pun mendapat sambutan baik daripada sebuah syarikat di Indonesia, iaitu Rumah Koperasi Indonesia (RKI).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan EastCap Berhad, Zakwanhafiz Ahmad Ansari, bagi merealisasikan hasrat itu, RKI telah pun memeterai perjanjian dengan pihaknya bagi pembelian 1,000 unit super dron berkenaan bernilai RM1.569 bilion.

Dalam perjanjian itu juga, RKI akan membuat pembelian pertama sebanyak 100 unit super dron di mana penghantaran pertama akan dibuat selewat-lewatnya pada September tahun ini.

Ia juga sebagai alat pengangkutan dalam operasi kecemasan bagi bencana sebagai ambulan, menghantar bantuan bekalan makanan dan perubatan serta mengangkut mangsa bencana.

Sebelum ini, EastCap Berhad dan RKI telah memeterai perjanjian persetujuan bagi pembelian 1,000 unit super dron bagi kegunaan dalam sektor pengangkutan awam di Hotel Sentral, Jakarta, baru-baru ini.