Zakir Naik ke Perlis pula bulan depan
  • 5 years ago
Selepas siri jelajahnya di Kelantan minggu lepas, Dr Zakir Naik akan terlibat dalam acara di Perlis pula selama tiga hari bermula esok 16 Ogos sehingga 18 Ogos ini.

Anak Dr Zakir, Fariq juga dijadual turut serta dalam acara dinamakan Malaysia Revert Camp @ Perlis 2019 yang melibatkan banyak tokoh pendakwah mualaf.

Revert atau kembali kepada asal ialah istilah yang turut digunakan terhadap pihak yang memeluk Islam.

Acara Zakir itu diiklankan di Facebook penganjur One Centre Malaysia, NGO dakwah Perlis, dan media sosial Zakir sendiri.

Kesemua acara Zakir dan anaknya itu akan berlangsung di masjid ikonik Perlis Masjid Al-Hussain, yang lebih dikenali sebagai masjid terapung di Kuala Perlis.

Zakir akan terlibat dengan sesi soal jawab terbuka pada 17 Ogos dan berkongsi pandangan berkaitan al-Quran sebagai sumber kebahagiannya sehari selepasnya.

Bagaimanapun, kem tiga hari itu mempunyai banyak lagi acara termasuk forum, kuliah, klinik solat, acara khas Mulismah, bengkel pengucapan awam dan pidato, pertandingan tilawah, program bual bicara serta aktiviti sukan dan rekreasi.

Pendakwah-pendakwah mualaf tempatan yang terkenal turut serta dalam acara itu, antaranya Xifu Naser, Shah Kirit, Firdaus Wong, Zamri Vinoth dan Ridhuan Tee.

Khutbah Jumaat Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin juga diletakkan sebagai sebahagian dari acara kem itu.

Zakir yang kini bertaraf pemastautin tetap Malaysia mencetuskan kontroversi baru selepas dilapor mempersoal kesetiaan penganut Hindu kepada perdana menteri dan mencadangkan “tetamu lama” Cina pulang dahulu sebelumnya.

Zakir mendakwa laporan berkaitan kenyataannya berkaitan penganut Hindu dipetik di luar konteks.

Ketika beliau berdepan gesaan diusir dari negara ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kelmarin mengulangi pendirian tidak akan berbuat demikian tetapi mengalu-alukan negara lain yang mahu menerimanya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi penganjur dan mufti Perlis berkaitan perkembangan terbaru ini.