Projek ECRL tidak pinggir mana-mana negeri

  • 5 years ago
Tiada pengecualian skop komponen yang dilaksanakan bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) walaupun kosnya berkurangan daripada RM65.5 bilion kepada RM44 bilion.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata melalui pengurangan kos sebanyak RM21.5 bilion itu, perubahan hanya dilakukan bagi beberapa jajaran, selain pembatalan stesen serta penambahan stesen baharu.

"Disebabkan kontrak asal dipersetujui antara kerajaan dan kerajaan (G2G), kerajaan terpaksa berunding dalam kontrak sedia ada untuk meneruskan projek ECRL dalam usaha memutuskan hala tuju ECRL.

"Kerajaan mempunyai pilihan sama ada untuk berunding semula atau membayar pampasan berjumlah RM21.78 bilion, justeru kerajaan memilih untuk kembali ke meja rundingan dengan China dan kita berjaya serta menjimatkan kos," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang bertanya apakah komponen projek ECRL yang tidak lagi dilaksanakan selepas kos terdahulu RM65.5 bilion dikurangkan kepada RM44 bilion.

Loke turut menegaskan projek ECRL tidak meminggirkan mana-mana negeri dan memastikan jajaran baharu menjadi pemangkin serta memberi pertumbuhan kepada kawasan yang terbabit.