Sampai bila S'pura jaga Rumah Api itu? Tanya Ahmad Maslan
  • 5 years ago
Kerajaan akan meneruskan keputusan untuk mengemukakan semakan kehakiman kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai pertikaian Pulau Batu Puteh, kata Timbalan Menteri Luar Marzuki Yahya.

“Berkenaan Pulau Batu Puteh, kita masih lagi komited, tadi saya pun dah sebut bahawa kerajaan akan mengemukakan semakakan penghakiman semula kes Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan ini kepada ICJ.

“(Semua) ini kita akan teruskan,” katanya kepada Dewan Rakyat ketika menjawab soalan Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang meminta pengesahan daripada kerajaan sama ada kes-kes berkenaan telah digugurkan.

ICJ pada tahun lalu berkata ia dimaklumkan oleh Malaysia bahawa negara itu akan menarik balik permohonan semakannya, yang pada mulanya dijadual dibicarakan pada 11 Jun 2018.

Pengumuman itu dibuat pada 1 Jun tahun lalu, kurang sebulan selepas Pakatan Harapan menerajui Putrajaya, tetapi ICJ tidak menyebut bila ia menerima notis daripada Malaysia berkenaan.

Peguam Negara Mohamed Apandi Ali mengambil ‘cuti’ pada 14 Mei tahun lalu dan peguam negara yang baru, Tommy Thomas, hanya dilantik pada 4 Jun tahun yang sama.

Malaysia dan Singapura telah membawa pertikaian mereka kepada ICJ, pada 2008 dan mahkamah antarabangsa itu memutuskan Singapura berhak ke atas Pulau Batu Puteh.

ICJ juga memutuskan kedudukan dua pulau lain yang berhampiran Pulau Batu Puteh, iaitu bahawa Batuan Tengah adalah milik Malaysia tetapi tidak memberi sebarang perintah mengenai Tubir Selatan.