Azmin tak perlu digesa bercuti - Anwar
  • 5 years ago
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali tidak perlu didesak untuk bercuti daripada menjalankan tugas dalam parti dan kerajaan, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga anggota parlimen Port Dickson berkata desakan itu tidak akan memberi kesan positif kepada kepimpinan parti dan negara, sebaliknya tindakan itu hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.

“Saya tidak bersetuju untuk mendesak Mohamed Azmin berehat sebagaimana diminta oleh pihak tertentu termasuk Otai Reformasi, bahkan perkara itu juga tidak dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik PKR.

“Kita sebenarnya tidak melarang orang hendak mengkritik kerana parti ini mengamalkan budaya politik bebas. Setiap pandangan boleh dikemukakan, tetapi nasihat saya ialah kurangkan beri kenyataan dan beri laluan untuk siasatan yang sedang dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Parlimen Hang Tuah Jaya di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di Melaka hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Industri Utama yang juga Anggota Parlimen Hang Tuah Jaya Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Otai Reformasi hari ini dilaporkan menggesa Putrajaya merehatkan Mohamed Azmin daripada tugasnya sebagai menteri susulan kontroversi kes video lucah yang dikaitkan dirinya bersama seorang lelaki.

Sebelum ini, tular di media sosial video lucah kononnya membabitkan Mohamed Azmin dan seorang lagi lelaki serta dakwaan kononnya sejumlah wang sebuah syarikat disalurkan ke akaun milik menteri itu. -Bernama
Recommended