Kadang-kadang kita dapat kejutan - Dr M

  • 5 years ago
Pelantikan peguam dan bekas ahli PKR Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM mengejutkan ramai pihak, termasuk menteri kabinet dan ahli parlimen PH sendiri.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan bahawa beliau sendiri yang memilih Latheefa yang disifatkannya sebagai berperwatakan tegas, dan keputusan itu dibuat tanpa berbincang dengan kabinet.

Mengulas tentang pelantikan itu, Dr Mahathir mengakui bahawa pelantikan itu mempunyai unsur kejutan.

"Kadang-kadang perkara seperti itu (kejutan) terjadi.

"Sebagai contoh, apabila DAP cadang saya sebagai perdana menteri, itu mengejutkan termasuk kepada saya sendiri.

"Kadang-kadang kita ada kejutan," katanya pada sidang media ketika majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri di Seri Perdana, Putrajaya hari ini.

Dr Mahathir juga bersetuju bahawa kejutan itu dibuat untuk memastikan menteri kabinet tidak terlalu selesa.

"Mereka tidak boleh terlalu selesa dan fikir apa saja mereka fikir akan diterima," katanya.

Semalam, Latheefa, diumum menjadi ketua pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa 1 Jun lalu untuk kontrak selama dua tahun.

Latheefa menggantikan Mohd Shukri Abdull yang memohon perkhidmatan kontraknya dipendekkan lebih awal sebelum kontrak berakhir 17 Mei 2020.

Dr Mahathir berkata, Mohd Shukri sudah memohon untuk berundur sejak tahun lalu