Saya tidak terkejut dengan lantikan Latheefa
  • 5 years ago
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mengalu-alukan pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menyifatkan peguam itu layak dan sesuai untuk menggalas tanggungjawab baharu itu.

Katanya, beliau telah mengenali Latheefa kerana masing-masing menjadi pengamal guaman dan berharap bekas pengarah eksekutif Lawyers for Liberty itu diberi masa untuk melakukan yang terbaik dalam tugas baharu itu.

“Saya tidak terkejut dengan pelantikannya...beliau pasti seorang yang berkebolehan, berpengalaman dan mempunyai pemahanan dan pegangan mengenai perundangan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya, hari ini.

Gobind berkata terdapat banyak percubaan dan usaha untuk 'membersihkan’ negara yang menjadi tumpuan kerajaan Pakatan Harapan dalam tahun pertama pentadbirannya.

“Ia adalah satu tanggungjawab besar tetapi sekali lagi beliau adalah seorang yang mempunyai pengalaman dan kelayakan untuk tugas baru itu,” katanya.

Mengenai dakwaan Latheefa tidak memiliki pengalaman yang mencukupi dalam menerajui agensi penguatkuasaan itu, Gobind berkata beliau sendiri tidak mempunyai pengalaman sebagai menteri dan percaya perlu ada titik permulaan.