Mukhriz tak salam Sultan Johor, TMJ salam Tun M
  • 5 years ago
Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini berkongsi video yang memaparkan Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir tidak bersalaman dengan ayahandanya, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

TMJ bagaimanapun tidak mengulas kejadian itu secara langsung tetapi hanya meletakkan lambang isyarat tangan seperti sedang menyembah.

Dalam video 14 saat itu, Mukhriz dilihat hanya menyembah sultan Johor tetapi berlalu tanpa menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan baginda.

Mukhriz bagaimanapun dilihat bersalaman dengan pihak lain dalam barisan sultan-sultan dan kerabat selepas itu.

Beberapa minit sebelum berkongsi video itu, Tunku Ismail terlebih dahulu berkongsi gambar baginda dan ayahandanya yang bersalaman dengan Mahathir.

Hubungan Mahathir dan istana Johor sebelum ini tegang, antaranya menjelang pemilihan menteri besar dan isu Statut Rom yang kemudian menyebabkan Malaysia menarik diri.

Malaysiakini telah menghubungi Mukhriz dan sedang menunggu penjelasannya berkaitan perkara itu.