Yapeim rugi RM12juta dalam skim gadaian emas - Laporan

  • 5 years ago
Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dilaporkan mengalami kerugian RM12 juta menerusi skim gadaian emasnya melibatkan 1,000 pelanggan projek gadaian Islam Ar-Rahnu.

The Malaysian Insight memetik dokumen sulit kerajaan yang menunjukkan kerugian berlaku apabila Yapeim gagal membuat lelongan ke atas barang kemas tidak ditebus sebanyak 300 kg dengan nilai RM80 juta, dari 2012 hingga 2014.

Menurut laporan itu, pihak pengurusan mahu menunggu nilai emas meningkat terlebih dulu namun pada masa sama sebahagiannya telah dicairkan tanpa pengetahuan penggadai.

“Disebabkan kegagalan melakukan jualan dan lelongan tersebut menyebabkan pihak Ar-Rahnu mengalami kemerosotan nilai emas sebanyak RM12 juta daripada harga sebenar pasaran.

“Sedangkan jika lelongan itu tidak dihalang, Ar-Rahnu tidak akan menghadapi kerugian kerana harga emas tidak pernah jatuh lebih 20% peratus dalam tempoh 20 bulan tersebut," kata dokumen itu seperti dipetik The Malaysian Insight.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan secara bebas dokumen sulit tersebut, dan telah menghubungi Yapeim untuk mengulas perkara itu.