Sultan Nazrin puji PM New Zealand

  • 5 years ago
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menyifatkan Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern sebagai seorang wanita yang berhati waja, berpendirian cekal serta memiliki sifat keinsanan dan manusiawi.

Pujian dibuat baginda kerana sikap, cara dan ketegasan Ardern mengendalikan insiden tembakan rambang ke atas masjid di Christchurch yang mengorbankan 50 nyawa pada 15 Mac lepas.

Sultan Nazrin bertitah Arden telah mempamerkan jiwa besar melalui kenyataan dan tindak tanduknya terhadap pasca peristiwa hitam tersebut seterusnya memberikan keyakinan kepada umat Islam di New Zealand bahawa keselamatan serta hak mereka beragama diberikan perlindungan.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, hari ini. Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Sultan Nazrin turut mengajak semua Anggota Dewan Undangan Negeri serta pegawai-pegawai yang hadir agar bertafakur selama seminit bagi mengingati kesemua mangsa serangan di Christchurch.

Baginda turut mengingatkan supaya rakyat negara ini menjadikan peristiwa tersebut sebagai pengajaran dengan tidak sesekali menyuntik minda dengan racun kebencian dan menyemai jiwa dengan semangat permusuhan lebih-lebih lagi atas nama kaum serta agama. - Bernama