Pembangunan bukan lesen musnahkan alam - Sultan Nazrin
  • 5 years ago
Pembangunan bukan lesen untuk menghalalkan perbuatan memusnahkan alam, demikian titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah pembangunan yang tidak dirancang secara seimbang dan dilaksanakan tanpa kelulusan laporan Penilaian Kesan Terhadap Alam Sekeliling (EIA) khususnya di kawasan tanah tinggi akan merosakkan alam sekitar.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, hari ini. Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Terdahulu, Sultan Nazrin berkenan memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada 102 anggota dan tiga pegawai daripada Batalion Pertama Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta diketuai DSP Muhammad Ulul Azmi Muhamed.

Sultan Nazrin juga bertitah pencemaran alam sekitar wajib diberikan perhatian serius dengan Jabatan Alam Sekitar bersama Kerajaan Tempatan perlu tegas melakukan pemantauan berkala bagi memastikan tahap piawaian dipatuhi.