LHDN tuntut Najib bayar cukai RM1.5 bilion
  • 5 years ago
Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak diminta oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk membayar RM1.5 bilion.

Menurut laporan The Edge Markets bil untuk tempoh 2011-2017 itu merupakan jumlah lain dari cukai pendapatan yang sudah dibayar ahli parlimen Pekan itu selama tujuh tahun.

Sumber yang dipetik laporan itu berkata Najib sudah dimaklumkan berhubung perkara berkenaan melalui surat yang dihantar LHDN kira-kira seminggu lalu.

Menurut sumber itu lagi, siasatan LHDN mendapati Najib belum mengisytiharkan pendapatan kira-kira RM4 bilion dalam tempoh itu, termasuk RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya sebelum ini yang didakwa berpunca dari 1MDB.

Najib bertegas bahawa RM2.6 bilion itu adalah dari derma keluarga diraja Arab Saudi.

Pakar cukai dipetik berkata, tanpa perlu mengambil kira sama ada wang berkenaan dicuri atau derma, ia masih dianggap boleh dikenakan cukai, dan adalah kesalahan untuk tidak mengisytiharkannya sebagai pendapatan.

Najib kini berdepan 42 tuduhan jenayah dan daripada jumlah itu, 10 tuduhan berhubung SRC International, bekas syarikat subsidiari 1MDB.

Tuduhan itu termasuklah tiga dakwaan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta, pecah amanah, dan penyalahgunaan kuasa.

Pada 8 Feb lalu, pihak pendakwaan menambah tiga lagi tuduhan pengubahan wang haram terhadap Najib melibatkan dana RM47 juga yang didakwa diterimanya pada 8 Julai 2014.

Najib juga akan berdepan dakwaan berhubung 1MDB pertengahan bulan depan.