'Saya akan gunakan mahkamah untuk bersihkan nama'
  • 5 years ago
Peguam terkemuka dan penasihat undang-undang Umno, Datuk Hafarizam Harun berkata beliau akan menggunakan mahkamah untuk memberishkan namanya.

Sebelum itu Hafarizam mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana sebanyak RM15 juta.

Dia didakwa menerima wang berkenaan daripada bekas perdana menteri Najib Razak melalui beberapa cek di antara 2014 dan 2014.

Untuk pertuduhan pertama Hafarizam didakwa menerima RM11.5 juta - dipercayai daripada kegiatan haram - melalui dua cek yang masuk ke "Akaun Pelanggan" milik firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Hafarizam dituduh melakukan kesalahan itu di Bank CIMB cawangan PWTC Kuala Lumpur di antara 16 April 2014 dan 4 Nov 2014.

Untuk tuduhan kedua, Hafarizam dituduh menerima RM3.5 juta hasil daripada kegiatan haram melalui sekeping cek yang dimasukkan ke akaun sama pada 12 Feb 2015.

Dia juga didakwa melakukan tuduhan kedua di bank yang sama.

Hafarizam dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

Tertuduh dibela peguam Hasnal Rezua Merican, manakala Ahmad Akram Gharib bertindak sebagai timbalan pendakwa.