'Tuduh saya kat luar, saya bawa ke mahkamah!'

  • 6 years ago
Bekas menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam sesi soal jawab di dewan rakyat sebentar tadi mendedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggilnya lebih dari 12 kali bagi membantu siasatan berhubung isu penjualan tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sejak Pakatan Harapan menjadi kerajaan.

Isu skandal tanah milik DBKL dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai yang mendakwa tanah DBKL dijual di bawah harga pasaran melalui rundingan terus atau tiada rundingan terus atas izin bekas meteri wilayah terdahulu.

Tengku Adnan yang menjawab soalan itu mencabar Kok Wai untuk mengulangi dakwaannya di luar Dewan Rakyat.

Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan berkata, selepas dilantik sebagai menteri wilayah mulai 2013, isu penjualan tanah diserahkan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) justeru beliau tiada kena mengena dengan kelulusan tanah.

Sementara itu, Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad mengakui isu penjualan tanah itu turut membabitkan pihak lain

Pada 9 Oktober lalu, Khalid dilaporkan berkata, sebanyak RM149 juta diperolehi menerusi rundingan semula 16 daripada 23 transaksi jualan tanah seluas 104 hektar milik DBKL.