'Tengok muka saya, totok melayu!'

  • 5 years ago
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengulangi kenyataan kontroversi terdahulu yang dibuatnya “Saya Melayu terlebih dahulu".

Dalam lawatannya ke ke Batalion 4, Pasukan Gerakan Am di Semenyih, hari ini beliau menyangkal dakwaan bahawa kerajaan Pakatan Harapan adalah anti-Melayu dan anti-Islam.

“Tuduhan kerajaan PH ini anti-Melayu dan anti-Islam, tengok muka saya, totok Melayu, saya pernah buat kenyataan Malay first, ada orang marah, tapi memang (itulah) saya,” katanya kepada kira-kira 500 anggota PGA.

Lawatan beliau itu adalah empat hari sebelum hari penamaan calon untuk pilihan raya kecil Semenyih pada 2 Mac ini. Ia adalah lawatan keduanya ke Semenyih selepas tarikh pilihan raya itu diumumkan.

“Mungkin ada pihak tertentu yang sengaja nak putar-belit katakan isu ini, isu sensitif.

“Kalau ada orang Melayu kata hak (akan) Melayu dihapus, dia akan marah, saya (pun) akan marah, saya tak rela hak orang Melayu terhapus,” katanya.

Muhyiddin juga memaklumkan bahawa terdapat 16 menteri Melayu yang menganggotai kabinet PH.