Kenapa saman Kelantan sekarang?

  • 5 years ago
PAS mempertikaikan keputusan Putrajaya mengemukakan saman kepada kerajaan Kelantan ketika PH menghadapi pilihan raya kecil di Cameron Highlands.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang langkah itu menimbulkan tanda tanya kerana isu berkenaan bukan baru terjadi, sebaliknya sudah lama.

Bercakap kepada wartawan selepas majlis perasmian Seminar Sejarah PAS di Taman Melewar, Kuala Lumpur semalam, Abdul Hadi berkata langkah berkenaan mencurigakan dan media wajar membangkitkannya.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin kemudian mencelah Abdul Hadi dengan mengemukakan soalan: "Adakah Tommy Thomas sudah bermain politik sebagai peguam negara?"

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang turut ada dalam sidang media itu pula berkata, ini adalah kali pertama dalam sejarah Putrajaya memfailkan saman kepada kerajaan negeri.

Semalam, kerajaan pusat - atas arahan kabinet - memfailkan saman sivil terhadap Kelantan kerana didakwa menceroboh tanah Orang Asli suku Temiar di negeri itu.

Peguam Negara, Tommy Thomas melalui kenyataannya berkata, saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Menurutnya, kerajaan negeri Kelantan dan agensinya telah memberikan hak pembalakan di Gua Musang kepada beberapa syarikat swasta tanpa berunding dengan masyarakat Orang Asli Temiar atau menawarkan pampasan kepada mereka.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan memandang serius pencerobohan tanah tersebut.

Sementara itu Takiyuddin berkata sudah ada sekumpulan peguam terkenal menawarkan diri untuk membela kerajaan Kelantan secara percuma.

Beliau yang juga anggota parlimen Kota Bharu berkata peguam terbabit sudah bergabung untuk memberikan khidmat mereka menghadapi saman dari Putrajaya.