BN banyak bantu Orang Asli di Cameron Highlands, Najib tempelak Kit Siang

  • 5 years ago
Bekas Pengerusi BN, Najib Razak yakin parti itu dapat mengekalkan kemenangan pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands pada 26 Jan ini.

Beliau berkata jangkaan itu dibuat selepas mengambil kira 'mood' semasa rakyat yang kecewa dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang beliau dakwa gagal menunaikan banyak janji semasa berkempen pada pilihan raya umum (PRU) ke 14.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan anjuran Yayasan Pahang dan Pejabat Anggota Parlimen Pekan di Sekolah Menengah Agama (SMA) Tengku Ampuan Fatimah, Pekan, hari ini.

PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Okt lepas, membatalkan kemenangan calon BN Datuk C. Sivarraajh pada PRU14 ekoran berlaku unsur rasuah untuk mendapatkan undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Jan ini sebagai tarikh penamaan calon.

Pada perkembangan lain, Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan menempelak dakwaan Penasihat DAP Lim Kit Siang yang mendakwa kerajaan BN sebelum ini tidak banyak membantu masyarakat Orang Asli.

Beliau menyifatkan dakwaan itu berniat untuk mengelirukan rakyat terutamanya masyarakat Orang Asli, khususnya di Cameron Highlands kerana 'BN telah banyak membantu golongan tersebut di seluruh negara'.

Recommended