Rusuhan di kuil tiada kaitan unsur perkauman - Polis

  • 5 years ago
Polis hari ini menolak dakwaan bahawa kejadian rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, di Subang Jaya, awal pagi ini ada kaitan dengan isu perkauman.

Sebaliknya, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, pergaduhan itu berpunca akibat pertikaman lidah antara dua kumpulan berhubung arahan memindahkan kuil tersebut yang dikeluarkan mahkamah sebelum ini.

“Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi itu, berlaku kekecohan antara sekumpulan 50 lelaki yang berada dalam pekarangan kuil tersebut dengan sekumpulan lagi lelaki yang berada di luar kuil.

“Sebanyak 18 kenderaan termasuk dua motosikal terbakar manakala sebuah kereta peronda polis turut dibaling batu oleh perusuh,” katanya yang dipetik oleh portal Utusan Online semasa sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Subang Jaya.

Mazlan juga memaklumkan, polis sudah menahan dua lelaki berusia lingkungan 30-an selepas dipercayai terlibat dalam rusuhan tersebut.

Katanya, kedua-dua lelaki terbabit ditahan di Hospital Serdang ketika menjalani rawatan akibat kecederaan dialami selepas rusuhan itu.

“Kita juga telah menempatkan sebanyak lebih 700 pegawai dan anggota termasuk dari pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) untuk bersedia di kawasan kuil itu.

“Buat masa ini, keadaan terkawal dan kita minta semua pihak bertenang dan jangan timbulkan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan, bagi kita siasat dulu,” katanya.

Malaysiakini, pagi tadi melaporkan keganasan meletus di luar kuil Seafield Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya subuh hari ini dan paling kurang sebuah lori pikap diterbalikkan khalayak yang marah.

Insiden kekecohan itu dikatakan berlaku berikutan perselisihan antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil, yang berusia lebih 100 tahun.

Video kejadian itu viral dalam media sosial. Turut dilaporkan banyak kenderaan terperangkap dalam kesesakan di sekitar kawasan berkenaan pada waktu puncak pagi ini.