Cawangan Khas tidak akan dibubar
  • 5 years ago
Kerajaan tidak bercadang untuk membubarkan Cawangan Khas atau SB yang menjadi sebahagian daripada komponen pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam jawapan bertulis di dewan rakyat, setakat ini tiada bukti kukuh menunjukkan SB - atau mana-mana jabatan lain dalam PDRM - disalahgunakan untuk kepentingan mana-mana pihak.

Dalam jawapan bertulis itu juga, KDN menejlaskan sekiranya terdapat bukti menunjukkan mana-mana pegawai polis atau mana-mana pegawai awam lain terlibat menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan tertentu, tindakan tegas akan diambil.

Penjelasan itu dibuat sebagai menjawab soalan dari Ahli PArlimen Labis, Pang Hok Liong yang bertanya mengenai status SB di bawah kerajaan baru.

Pang bertanya sama ada benar atau tidak SB disalah guna oleh BN semasa parti itu menjadi kerajaan untuk melindungi dan mengekalkan kuasa mereka.

Menurut KDN, PDRM ialah sebuah agensi keselamatan yang profesional menjalankan tugasnya mengikut bidang kuasa diperuntukkan undang-undang.

Dan dengan mengambil kira kepentingan agensi perisikan termasuk SB dalam memelihara kepentingan keselamatan negara isu sama ada SB dibubarkan tidak timbul sama sekali.