Muka Tok Pa ditutup, muka Najib tidak diusik

  • 6 years ago
Selepas beberapa jam Datuk Seri Mustapa Mohamed sah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) beliau dilihat menerima bantahan di kawasan parlimennya sendiri.

Mungkin kerana kecewa atau marah, gambar muka Mustapa yang terpapar pada satu papan iklan didapati ditampal dengan kertas oleh pihak yang tidak dikenali.

Memetik laporan Sinar Online gambar Mustapa dikatakan ditampal kertas pada malam beliau mengumumkan penyertaannya ke dalam BERSATU.

Bagaimanapun gambar Datuk Seri Najib Razak yang turut dipaparkan pada papan iklan itu tidak diusik.

Dipercayai papan iklan itu dinaikkan sebelum pilihan raya umum pada 9 Mei lalu.

PRU ke-14 itu menyaksikan Najib gagal mengemudi BN untuk terus mendapat kepercayaan daripada majoriti rakyat negara ini menjadi kerajaan.

Mustapa atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Pa mengumumkan penyertaannya bersama BERSATU pada 26 Okt lalu.

Langkah itu diambil secara rasmi selepas beliau meninggalkan Umno dan menjadi anggota parlimen bebas kira-kira sebulan sebelum itu.