Lebih 1,000 orang banjiri Festival Hari Guru 2017

  • 6 tahun lalu
JOHOR BAHRU 13 Mei - Lebih 1,000 orang membanjiri Festival Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2017 yang berlangsung di Padang A, Angsana Johor Bahru Mall, di sini hari ini.

Majlis yang berlangsung sejak semalam hingga Selasa depan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini.

Festival tersebut merupakan festival perguruan terbesar yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Kumpulan Utusan.

Sepanjang tempoh festival berlangsung, pelbagai aktiviti pendidikan dianjurkan antaranya pameran pendidikan, studio penghias wajah, Klinik Jawi, Pencarian Gadis Panca, demonstrasi produk oleh pempamer dan jualan buku serta majalah.

Di samping itu, gerai-gerai Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang dibawa khas oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turut mengambil bahagian selain pempamer daripada sektor korporat, agensi kerajaan, agensi bukan kerajaan dan masyarakat setempat.

Selain pameran, festival lima hari itu turut diselitkan dengan acara hiburan seperti Konsert Mega Pancaindera, Khatam Al-Quran Perdana, Ceramah Agama oleh Datuk Mohd. Kazim Elias dan banyak lagi.

Festival tersebut mendapat tajaan daripada YTL Corporation, selaku penaja utama manakala Adabi, FAMA, Proton, A&W, Julie's, MAMEE dan LeapEd selaku penaja bersama. - UTUSAN ONLINE