Akhbar Utusan Pelajar dilancar sempena Festival Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2017
  • 6 tahun lalu
JOHOR BAHRU 14 Mei - Sempena Festival Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2017 yang berlangsung pada 12 Mei hingga Selasa depan, Unit Pendidikan Utusan Malaysia mengambil peluang melancarkan akhbar pendidikannya, Utusan Pelajar pada pagi ini.

Upacara pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk P.Kamalanathan.

Utusan Pelajar mula diterbitkan secara bulanan pada 13 Ogos 1970 dengan tujuan menyumbang seluas-luasnya pengetahuan pendidikan dan pelbagai ilmu pengetahuan dengan harapan ibu bapa pelajar tidak ketinggalan dalam pembelajaran serba maju sekarang.

Kini Utusan Malaysia menerbitkan Utusan Pelajar yang merupakan suplemen kepada pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21), selaras dengan perubahan sistem pendidikan negara yang tidak lagi berorientasikan peperiksaan semata-mata.

Kandungan pembelajarannya bersifat modular, merentas subjek dan kurikulum daripada bahan bacaan luas mengikut topik PAK-21 untuk semua pelajar sekolah rendah dan menengah.

Terdapat dua pendekatan PAK-21 yang diketengahkan iaitu Modul 10 Minit Perhimpunan Sekolah dan Bahan Rangsangan Pembelajaran Abad ke-21.

Ia juga menekankan pendekatan kolaboratif dan koperatif antara murid-murid untuk melaksanakan pembelajaran berasaskan projek.

Lebih banyak sekolah rendah dan menengah di seluruh negara melanggan Utusan Pelajar sebagai usaha menyemarakkan pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) dengan infrastruktur dalam bilik darjah. - UTUSAN ONLINE