Rawatan barah: Selaraskan perkhidmatan hospital di bawah dua kementerian

  • 6 tahun lalu
KUALA LUMPUR 19 Julai - Perbezaan kos rawatan barah di hospital yang terletak di bawah Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dikatakan antara punca mengapa kawalan serta kempen kesedaran penyakit berkenaan tidak memberikan impak maksimum. Menurut Presiden Persatuan Advokasi Kesihatan Kanser Malaysia (TAC), Ranjit Kaur, ketika ini rawatan barah di hospital di bawah KPT dikenakan caj yang agak tinggi sehingga membebankan pesakit terutamanya dalam kalangan berpendapatan sederhana dan rendah.

Menurut beliau, walaupun kos rawatan di hospital di bawah Kementerian Kesihatan rendah, kekurangan pakar dan fasiliti terutamanya di luar bandar menjadi halangan kepada pesakit untuk mendapatkan rawatan sewajarnya. “Justeru masanya telah tiba untuk kerajaan menyelaraskan perkhidmatan rawatan barah di hospital di bawah kedua-dua kementerian demi menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat. "Antara yang boleh dilakukan, ialah menyelaraskan belanjawan yang diperuntukkan untuk institusi-institusi berkenaan,” katanya. Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Buku Elevating The Voice of Cancer Patients di Menara CIMB di sini, hari ini.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak dan dihadiri oleh para pesakit barah yang bernaung di bawah TAC. Ranjit yakin usaha penyelarasan itu boleh dilakukan kerana kedua-dua kementerian tersebut berada di bawah satu kerajaan. - UTUSAN ONLINE