Bikers Unite for Charity, menunggang sambil beramal

  • 6 tahun lalu
KUALA LUMPUR - Bikers Unite for Charity akan memperuntukkan sebanyak RM2.3 juta biasiswa kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang cemerlang namun kurang bernasib baik dari segi kewangan bagi membantu mereka mendapatkan pendidikan yang lebih berkualiti.

Dana biasiswa ini telah disumbangkan oleh Asia College of Exercise and Sports Medicine, yang terletak di Setia Alam, Shah Alam.

Selain menawarkan biasiswa, Bikers Unite for Charity juga akan memberi sumbangan dalam bentuk kewangan untuk individu di dalam rumah-rumah kebajikan, sumbangan untuk menguruskan rumah anak yatim, dan menanggung kos penyelenggaraan rumah-rumah kebajikan.

Bikers Unite for Charity merupakan satu gabungan kelab-kelab motosikal berkuasa tinggi dari seluruh negara dengan satu tujuan iaitu meringankan beban insan-insan yang kurang berkemampuan.

Setakat ini, sebanyak RM200,000 berjaya dikumpul melalui projek ini dan usaha sedang dipertingkatkan bagi mencapai jumlah sasaran kutipan dana iaitu RM500,000 menjelang hari kemuncaknya.

Acara kemuncak Bikers Unite for Charity akan diadakan di Restoran Saloma, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, pukul 3 petang pada 22 Mei.

Pelbagai aktiviti menarik akan dijalankan pada hari kemuncak itu nanti seperti cabutan bertuah, persembahan artis, dan jualan amal. – UTUSAN ONLINE