Mara lancar tiga pembiayaan baharu untuk pelajar

  • 6 tahun lalu
KUALA LUMPUR 19 Jun - Majlis Amanah Rakyat (Mara) hari ini mengumumkan tiga inisiatif pembiayaan baharu di bawah Dasar Baharu Pembiayaan Pelajaran Mara 2015 untuk para pelajar tempatan yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa ketika membuat pengumuman itu turut menjelaskan, satu daripada inisiatif tersebut diadakan dengan kerjasama beberapa buah institusi kewangan swasta bagi menambah lagi dana bantuan yang diberikan.

Bercakap pada sidang media yang diadakan di Bangunan Mara di sini hari ini, Annuar berkata, bagi ketiga-tiga program baharu berkenaan, para pelajar akan menandatangani kontrak pembiayaan dengan Mara dan instusi kewangan yang berkaitan.

Tambah beliau, program-program pembiayaan tersebut boleh dimohon bermula 1 Julai ini bagi pengambilan pelajar baharu.

"Setakat ini, Mara telah mendapat persetujuan dan kerjasama daripada Bank Rakyat dan Maybank bagi menjayakan program ini.

"Penglibatan kedua-dua institusi perbankan tersebut telah membawa penambahan RM500 juta kepada dana RM2 bilion yang telah diperuntukkan untuk Mara," jelas beliau. - UTUSAN ONLINE -