Kenamaan dan artis berkongsi rasa seni

  • 6 tahun lalu
BANGI 5 April - Majlis Bintang-Bintang Berpuisi yang diadakan di Persada Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini, yang dijayakan oleh ahli politik, ahli akademik, budayawan dan artis-artis terkenal, bertujuan memartabatkan lagi seni puisi.

Program yang dianjurkan oleh akhbar Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia dengan kerjasama UKM ini bukan sekadar menyampaikan hiburan semata-mata tetapi dengan mengangkat tema kehidupan, ia mampu memberi rasa keharmonian sesama insan.

Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, program berpuisi sebegini harus diteruskan pada tahun seterusnya agar seni puisi terus diminati khususnya anak-anak muda.

"Gabungan antara artis dan ahli akademik mampu menarik golongan muda supaya puisi terus mendapat tempat di hati masyarakat", katanya.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan, Kumpulan Utusan, Datuk Noordin Abbas.

"Majlis berpuisi yang diadakan ini bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi mesej yang ingin disampaikan.

"Puisi-puisi yang bertemakan Hidup dan Kehidupan: Manusia dan Kemanusiaan ini dapat memberi inspirasi kepada kehidupan seharian kita," tambah beliau.

Antara artis yang turut menjayakan Bintang-Bintang Berpuisi itu adalah Datuk Hattan, Rita Rudaini, Yana Samsudin, Johan As'ari, Ezad Lazim dan Ana Rafali.- UTUSAN ONLINE

Disyorkan