Tindakan provokatif lawan tidak lemahkan semangat Suhaimi

  • 6 tahun lalu
PERMATANG PAUH 6 Mei - Tindakan parti lawan yang provokatif ketika berkempen dengan mensabotaj poster-poster kempen Barisan Nasional (BN) sedikit pun tidak melemahkan semangat calon BN di Parlimen Permatang Pauh, Suhaimi Sabudin.

Sebaliknya, calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh itu optimis bahawa perubahan akan berlaku pada PRK kali ini apabila mengambil kira maklum balas daripada para pengundi.

Menurutnya, beliau akan meneruskan program bertemu pengundi seluruh kawasan sehingga tamat tempoh berkempen pada pukul 12 tengah malam ini.

"Memang agak mengecewakan kerana sepanjang saya berjumpa pengundi, saya tidak pernah sekali pun memburukkan sesiapa atau mana-mana parti. Apa yang saya buat cuma ceritakan kemajuan yang akan saya usahakan jika menang.

"Maklum balas yang saya terima amat baik. Saya menyeru pengundi esok supaya lupakan emosi dan buat tindakan bijak dengan memilih orang yang benar-benar boleh berkerja demi mereka," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow dan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman.

Sementara itu, Chang Yeow turut melahirkan rasa kecewa dengan perbuatan pihak yang tidak bertanggung jawab memusnahkan papan iklan dan poster kempen BN.

"Kami agak kecewa kerana pada pandangan kami ini tidak mematuhi semangat berkempen secara bersih," kata Chang Yeow.

Beliau berkata, tindakan merosakkan bahan kempen BN itu dipercayai kerana menyentuh isu-isu tempatan seperti kenaikan tarif air, sewa gerai dan lain-lain.

"Kita kemukakan semua isu itu kerana mahu pengundi buka mata dan faham keadaan sebenar yang terjadi di Pulau Pinang," tambah beliau.

PRK kali ini menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara Suhaimi, calon PKR Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, calon Parti Rakyat Malaysia, Azman Shah Othman dan calon Bebas, Salleh Isahak. - UTUSAN ONLINE