PPPM (PT) penentu masa depan negara

  • 6 tahun lalu
KUALA LUMPUR - Sektor pendidikan negara bakal mengalami satu anjakan apabila Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 Pengajian Tinggi (PT) dizahirkan dan diimplimentasi dalam waktu terdekat ini.

PPPM (PT) berhala tuju meletakkan nama Malaysia di penanda aras tertinggi dunia selain daripada penentu masa depan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, cadangan 10 lonjakan bagi institusi di bawah Kementerian Pendidikan mencakupi Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta.

"10 lonjakan itu termasuklah sokongan daripada lima aspirasi sistem yang memberi tumpuan kepada akses, ekuiti, kualiti, kecekapan dan perpaduan," katanya ketika berucap di majlis perasmian PPPM 2015-2025(PT).

Berucap di hadapan 1,800 ke 2,500 orang, Najib berkata, kecemerlangan bakat perlu dibangunkan jika mahu bersaing dengan mana-mana negara.

"Jika kita mampu menjana bakat, kita akan mampu untuk bersaing dengan mana-mana negara sekali pun kerana itulah penanda aras antarabangsa," katanya.

Dalam ucapannya juga, Najib berkata, universiti awam dibenarkan membangunkan dan melaksanakan skim pelbagai trek melalui proses penurunan kuasa untuk hal-hal sumber manusia.

Katanya, ini akan membangunkan laluan kerjaya bagi penyelidik, pendidik, pemimpin dan pengamal profesional seperti ikon-ikon korporat untuk berkongsi idea mereka menerusi siri kuliah jemputan, perbincangan panel dan pengajaran bersama dalam Program Ahli Fakulti CEO.

Selain itu, PPPM (PT) juga akan meningkatkan kapasiti, kualiti dan tahap program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termasuk mengembangkan kurikulum berkualiti yang diterajui indusrti beserta model kerjasama baharu yang mewujudkan penyelarasan di antara Kementerian dengan agensi penyedia TVET dan agensi-agensi lain. - UTUSAN ONLINE