Dua suspek kes kemalangan maut Lebuh Raya Duke mengaku tidak bersalah

  • 6 tahun lalu
KUALA LUMPUR 8 Mei - Dua suspek yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan memandu dengan cuai dan merbahaya sehingga terbabit dalam kemalangan maut yang meragut nyawa tiga beranak pada 3 Mei lalu di Kilometer 6.2 Lebuh Raya Duke, dari arah Ulu Klang ke Jalan Duta.

Tertuduh pertama Siti Noor Aini Mohd. Said berusia 34 tahun manakala tertuduh kedua, Mohammad Fizal Reza Jamauddin berusia 31 tahun.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Noorul Fhaiez Mohd Nayan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Kedua-dua mereka didakwa di bawah Seksyen 4 1 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan membahayakan orang awam atau publik.

Mahkamah memutuskan lesen memandu kedua-dua tertuduh digantung dan passport antarabangsa mereka diserahkan kepada mahkamah mengikut Seksyen 41 (5) Akta Pengangkutan Jalan.

Mahkamah juga membenarkan kedua-dua diikat jamin masing-masing RM9, 000 dengan seorang penjamin setiap satu.

Tertuduh pertama diwakili dua orang peguambela iaitu S. Ravenesan dan S. Prakash.

Tertuduh kedua pula diwakili Hashim Ibrahim manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim.

Sementara itu, Cantius Leo Camoens merupakan peguam kepada keluarga mangsa dan menjadi peguam pemerhati ketika sesi sebutan kes hari ini.

Sebutan semula kes kemalangan maut ini ditetapkan pada 22 Jun depan. - UTUSAN ONLINE

RALAT: Utusan Online memohon maaf kepada Cantius Leo Camoens kerana sebelum ini merujuk beliau sebagai peguambela kepada tertuduh pertama dan tidak akan mengulangi kesilapan ini lagi.