Liat bayar bil: IWK ada kaedah sekat saluran kumbahan pengguna
  • 6 tahun lalu
KUALA LUMPUR 30 Mac-Tidak seperti perkhidmatan air dan elektrik yang diberi perhatian sepenuhnya oleh pengguna, perkhidmatan pembentungan bagi menyelenggara air kumbahan tidak langsung dipandang masyarakat.

Pengguna seolah-olah tidak langsung menghiraukan bagaimana bahan kumbahan daripada air mandian, cucian dan dari tandas dirawat dan dibuang, bagi memastikan mereka terhindar dari penyakit.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. I-W-K, Datuk Ir. Abdul Kadir Mohd. Din, syarikat berkenaan terpaksa menanggung kerugian beratus-ratus juta ringgit setahun berikutan keengganan pengguna membayar bil penyelenggaraan yang hanya dikenakan 8 ringgit sebulan.

"Purata IWK terpaksa menanggung kos penyelenggaraan sebanyak RM800 juta setahun. Sedangkan kutipan yang kita terima hanya RM500 juta setahun," kata Abdul Kadir dalam temubual eksklusif di pejabat beliau di ibu negara.

Ketika ini IWK mengendai 6,127 logi olahan kumbahan awam dengan 16,777 kilometer rangkaian paip pembentung sejak 1994.

IWK merawat sejumlah 4.8 juta meter padu air sisa kumbahan sehari. Jumlah ini bersamaan dengan 1,922 kolam renang bersaiz olimpik.

Abdul Kadir berkata, IWK mempunyai kaedah bagi menghukum pengguna yang liat membayar bil. Kaedah berkenaan hasil daripada inovasi pekerja IWK sendiri.-UTUSAN ONLINE