100 hari tak cukup tunai semua 10 janji HARAPAN
  • 6 years ago
Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kerajaan memerlukan masa lebih daripada 100 hari untuk menunaikan janji-janji yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) menjelang pilihan raya umum (PRU) lalu.

Menurut perdana menteri hal itu kerana manifesto terbabit dirangka ketika gabungan HARAPAN tidak menjangkakan mampu memperoleh kemenangan selesa mengatasi BN.

Dr Mahathir berkata demikian semasa berucap selepas mesyuarat agung tahunan Dewan Perdagangan Amerika di Kuala Lumpur hari ini.

Untuk kali pertama BN dinafikan haknya untuk menjadi kerajaan sejak merdeka apabila kecundang di tangan HARAPAN dalam PRU ke-14 lalu.

Pencapaian itu membolehkan Dr Mahathir sekali lagi dilantik sebagai perdana menteri. Beliau pernah menjadi perdana menteri selama kira-kira 22 tahun, mulai 1982.

Untuk mendapatkan sokongan rakyat HARAPAN menawarkan pelbagai janji melalui manifestonya, termasuk 10 janji yang diikrar akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari.

Antaranya ialah menangguhkan pembayaran hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), meningkatkan tahap gaji minimum dan menubuhkan jawatankuasa bagi membincangkan Perjanjian Malaysia 1963.

Turut dijanjikan, penubuhan suruhanjaya siasatan diraja mengenai skandal melibatkan 1MDB, Felda, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Lembaga Tabung Haji.