Kepimpinan Sabah, Sarawak zahir sokongan pada Dr M
  • 6 years ago
Kepimpinan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak hari ini menzahirkan sokongan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pemimpin negara dalam membangunkan negara.

Ia dizahirkan pada majlis jamuan ramah mesra bersama Dr Mahathir yang berlangsung di Seri Perdana petang semalam yang dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta barisan kepimpinan kedua-dua negeri.

Mohd Shafie ketika ditemui Bernama selepas pertemuan lebih sejam itu menyatakan komitmen kerajaan negeri Sabah untuk mengeratkan ikatan dengan kerajaan persekutuan demi pembangunan negara secara keseluruhannya.

Abang Johari yang turut senada dengan Mohd Shafie berkata kesediaan perdana menteri mengundang kepimpinan kedua-dua negeri ke majlis itu akan merapatkan lagi kerjasama dan silaturahim dengan kerajaan pusat yang sudah tentu akan memberi kesan yang baik kepada negara.