Belanjawan tak lulus, kerajaan AS ditutup

  • 6 years ago
Kerajaan AS secara rasmi ditutup pada tengah malam kelmarin selepas anggota Demokrat dan Republikan di Dewan Senat gagal mencapai kata sepakat untuk meluluskan belanjawan.

Pada sesi dramatik pada tengah malam itu, senator menghalang rang undang-undang untuk melanjutkan belanjawan kerajaan hingga 16 Februari ini.

Rang undang-undang itu memerlukan 60 undi daripada 100 anggota Senat tetapi hanya 50 yang menyokong.

Kebanyakan Demokrat menolak rang undang-undang itu kerana usaha mereka untuk memasukkan perlindungan kepada ribuan imigran muda dikenali sebagai Dreamers, gagal.

Rundingan itu ketua majoriti Senat, Mitch McConnell dan ketua Demokrat Senat, Chuck Schumer pada minit terakhir sebelum tengah malam gagal dan kerajaaan AS secara teknikal tiada wang selepas tengah malam.

Penutupan itu secara rasmi bermula semalam iaitu pada ulang tahun pertama Donald Trump mengangkat sumpah sebagai presiden AS.

Pentadbiran Trump segera menyalahkan Demokrat.

Sehingga belanjawan itu diluluskan, sejumlah agensi persekutuan di seluruh negara tidak dapat beroperasi dan ribuan pekerja yang dianggap tidak penting akan diberi cuti tanpa gaji.

Bagaimanapun, kakitangan yang penting yang berurusan dengan keselamatan awam dan negara akan terus bertugas termasuk 1.3 juta askar aktif yang perlu bekerja tetapi tidak dibayar gaji sehingga belanjawan diluluskan.