"Musuh AS juga musuh Malaysia," kata Najib depan Trump
  • 7 years ago
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan mesej penting kepada Presiden Donald Trump bahawa Malaysia bersama-sama dengan Amerika Syarikat dalam perjuangan memerangi keganasan.

Beliau mengambil perhatian matlamat pentadbiran Trump untuk menjadikan Amerika Syarikat dan dunia sebagai tempat yang selamat, sesuatu yang menurut Najib, apa yang beliau juga mahu capai untuk Malaysia dan melangkauinya.

"Kami komited untuk memerangi Daesh, IS, Al-Qaeda, Abu Sayyaf - apa pun namanya, mereka ialah musuh Amerika Syarikat, mereka juga musuh Malaysia.

"Dan kami mainkan peranan kami untuk memastikan kawasan kami di dunia ini selamat," kata Najib, sambil menegaskan kumpulan keganasan telah mencetuskan huru-hara di seluruh dunia.

Najib memanfaatkan pertemuan beliau dengan pemimpin kuasa besar dunia terkemuka itu untuk menyentuh tentang peri pentingnya sokongan diberi kepada kerajaan negara Islam berpendirian sederhana serta memenangi hati dan minda masyarakat Islam dalam usaha memerangi ancaman keganasan.

"Dalam hal ini, perkara paling penting ialah memberi sokongan kepada rejim dan kerajaan negara Islam yang berpendirian sederhana serta progresif di seluruh dunia kerana itulah wajah Islam yang benar-benar tulen.

"Lebih rapat hubungan anda dengan rejim progresif dan berpendirian sederhana, maka akan lebih berkesanlah usaha untuk memenangi hati dan minda dunia Islam," kata Najib.

Terdahulu, Trump menyambut mesra Najib yang tiba di Rumah Putih untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika itu, puncak lawatan kerja beliau ke Washington D.C dari 11 hingga 13 Sept.
Recommended