"Kami mahu bantu kukuh ekonomi AS," kata Najib pada Trump

  • 7 years ago
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Bhd merancang meningkatkan pelaburan mereka di Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata selain itu, Malaysia juga menerusi Malaysia Airlines Bhd (MAB) akan membeli lebih banyak pesawat Boeing dari negara itu.

Beliau berkata, langkah itu adalah bagi membantu mengukuhkan ekonomi Amerika Syarikat.

Najib berkata, KWSP sahaja dijangka melabur antara AS$3 bilion dan AS$4 bilion (AS$1 > RM4.19) di negara itu.

"Saya ingin katakan bahawa kami datang ke sini dengan membawa cadangan nilai yang kukuh untuk dikemukakan.

"Kami mahu membantu anda mengukuhkan ekonomi AS," katanya pada pertemuan delegasi Malaysia dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, di sini, hari ini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, delegasi Malaysia mempunyai tiga cadangan khusus.

Pertama, katanya, Malaysia berhasrat menambah bilangan pesawat Boeing yang akan dibeli oleh MAB.

"Kami komited untuk membeli 25 pesawat 737-MAX 10, lapan 787 Dreamliners dan ada kebarangkalian besar, bukan kemungkinan, yang kami akan menambah 24 (atau) 25 lagi 737-MAX 10 dalam masa terdekat.

"Jadi, dalam masa lima tahun, dengan pembelian tambahan itu, janji niaga itu akan bernilai melebihi AS$10 bilion," katanya.

Pesawat 737 MAX 10 bakal menjadi pesawat satu lorong paling menguntungkan bagi syarikat penerbangan berkenaant, menawarkan kos tempat duduk paling rendah, manakala 787 Dreamliner adalah pesawat enjin berkembar dengan kerangka sederhana bagi perjalanan jarak jauh.

Perbincangan dengan Trump itu adalah kemuncak lawatan kerja Najib ke AS dari 11-13 September, atas jemputan daripada Presiden AS ke-45 itu.

Najib berkata, kerajaan juga akan cuba memujuk syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd untuk membeli enjin General Electric buatan AS.

"Keduanya, kami memiliki KWSP, dana pencen utama di Malaysia. Mereka memiliki modal yang besar untuk dieksport, mereka melabur hampir AS$7 bilion dari segi ekuiti di AS dan mereka berhasrat untuk melabur tambahan AS$3 bilion hingga AS$4 bilion bagi menyokong pembangunan semula prasarana anda," katanya.

Perdana Menteri juga berkata, Khazanah Nasional, yang memiliki pejabat di Silicon Valley, California dan telah melabur kira-kira AS$400 juta dalam syarikat teknologi tinggi, juga berhasrat meningkatkan pelaburannya.

Perdana menteri menyampaikan mesej penting kepada presiden bahawa Malaysia bersama-sama dengan Amerika Syarikat dalam perjuangan memerangi keganasan.

Beliau mengambil perhatian matlamat pentadbiran Trump untuk menjadikan Amerika Syarikat dan dunia sebagai tempat yang selamat, sesuatu yang menurut Najib, apa yang beliau juga mahu capai untuk Malaysia dan melangkauinya.

"Kami komited untuk memerangi Daesh, IS, Al-Qaeda, Abu Sayyaf - apa pun namanya, mereka ialah musuh Amerika Syarikat, mereka juga musuh Malaysia.

"Dan kami mainkan peranan kami untuk memastikan kawasan kami di dunia ini selamat," kata Najib, sambil menegaskan kumpulan keganasan telah mencetuskan huru-hara di seluruh dunia.

Najib memanfaatkan pertemuan beliau dengan pemimpin kuasa besar dunia terkemuka itu untuk menyentuh tentang peri pentingnya sokongan diberi kepada kerajaan negara Islam berpendirian sederhana serta memenangi hati dan minda masyarakat Islam dalam usaha memerangi ancaman keganasan.

"Dalam hal ini, perkara paling penting ialah memberi sokongan kepada rejim dan kerajaan negara Islam yang berpendirian sederhana serta progresif di seluruh dunia kerana itulah wajah Islam yang benar-benar tulen.

"Lebih rapat hubungan anda dengan rejim progresif dan berpendirian sederhana, maka akan lebih berkesanlah usaha untuk memenangi hati dan minda dunia Islam," kata perdana menteri.

Perbincangan di Rumah Putih itu berlangsung ketika Malaysia dan Amerika Syarikat menyambut ulang tahun ke-60 terjalinnya hubungan dua hala antara dua negara berkenaan tahun ini.

Najib menegaskan bahawa Amerika merupakan sahabat Malaysia sejak sekian lama.

"Tahun ini menyaksikan ulang tahun ke-60 hubungan antara kita. Saya berharap pertemuan hari ini akan menjadikan hubungan ini lebih kukuh pada tahun-tahun akan datang," kata beliau.

Recommended