Pontianak kembali terkawal selepas tegang

  • 7 years ago
Tiada rusuhan antara kaum, sebaliknya berlaku protes yang dalam kawalan terhadap Gabenor Kalimantan Barat.

Tempo melaporkan Ketua Polis Daerah Kalimantan Barat, Brigadier Jeneral Polis Erwin Triwanto berkata foto dan video yang tular merupakan foto-foto lama dan tidak ada kaitannya dengan kejadian pada Sabtu lalu.

Kota Pontianak dikatakan tegang dengan aksi pembawa senjata berarak di tengah kota, namun sebenarnya menyaksikan dua kegiatan yang berlangsung serentak iaitu Festival Gawai Dayak dan aksi Himpunan Damai Bela Ulama 205.

Festival Gawai Dayak merupakan kegiatan kebudayaan tahunan Wilayah Kalimantan Barat yang berpusat di Rumah Adat ‘Radakng’.

Dalam ucapan perasmian Pekan Gawai Dayak ke-32, Gabenor Kalimantan Barat, Cornelis berkata ia sudah menjadi salah satu kegiatan nasional, sehingga Pekan Gawai Dayak ini bukan lagi milik masyarakat Dayak, tetapi milik Indonesia hingga ia harus dilestarikan.

Festival tersebut turut melibatkan penglibatan Orang Asli dari Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Poland, Taiwan, dan masyarakat Dayak di Malaysia dan Brunei Darussalam.

Sementara itu di lokasi berlainan, ratusan peserta Aksi Bela Ulama 205 telah berhimpun di Masjid Raya Mujahidin, Pontianak, Jalan Ahmad Yani.

Perhimpunan ini bertujuan mendesak pasukan keselamatan menyiasat laporan terhadap kandungan ucapan Gabenor Kalimantan Barat, Cornelis sebelum itu.

Mereka berkumpul sejak 10 pagi sebelum berarak menuju ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kalimantan Barat sekitar 1 petang selepas solat Zohor.

Ratusan peserta menuju ke Ibu Pejabat Polda Kalbar dengan berjalan kaki, menunggang motosikal, serta menaiki kereta dan pikap.

Penyelaras himpunan, Abdurahman Ali Almutahar berkata, pihaknya tidak memusuhi masyarakat Dayak, kerana mereka bersaudara.

Pihaknya juga meminta agar tidak ada lagi pengusiran ulama dari Kalimantan Barat dilakukan.

Untuk memastikan proses keselamatan terpelihara, pihak polis hanya memberi satu akses laluan keluar masuk ke kawasan Masjid Raya Mujahidin.

Jalan masuk berada di sisi kanan masjid itu turut dipasang dengan alat pengesan logam.

Alat-alat yang dianggap membahayakan pula akan disita pihak polis.

Sekitar jam 2 petang waktu tempatan, berlaku insiden yang tegang di antara polis dan perusuh di hadapan Masjid Raya Mujahidin, apabila polis merampas beberapa senjata tajam.

Pihak polis kemudian dilempar dengan air mineral namun situasi dapat dikawal.

Perusuh lain tertumpu di persimpangan Jalan Dgajahmada, Jalan Veteran dan Jalan Pahlawan, sebelum akhirnya mereka menunaikan solat Maghrib di tengah jalan, sebelum bersurai.

Kota Pontianak kini dalam keadaan terkawal.