Video: Rumah 'istimewa' Johor, ini perinciannya

  • 7 years ago
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semalam berkenan melancarkan Rumah Impian Bangsa Johor Yayasan Sultan Ibrahim (RIBJ YSI) bagi membantu setiap rakyat Johor memiliki rumah sendiri.

Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation, Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim berkata pembangunan projek tersebut akan dilaksanakan di tiga lokasi iaitu Bandar Dato’ Onn, Bandar Baru Majidee dan Bukit Saujana, yang merangkumi dua kategori iaitu Rumah Impian Sultan Ibrahim (RISI) dan Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ).

RISI di Bandar Dato’ Onn, sebanyak 520 unit rumah akan dibina dan melibatkan komponen 190 unit rumah teres, 130 unit rumah berkembar dan 200 unit rumah sebuah dengan harga dari RM80,000 hingga RM100,000 seunit.

RIBJ pula di Bandar Baru Majidee, sebanyak 320 unit rumah akan dibina terdiri daripada dua blok yang masing-masing mempunyai 12 tingkat kediaman dengan harga kurang dari RM150,000 seunit.

Kesemua jenis kategori rumah akan turut didatangkan siap dengan kemudahan seperti televisyen, peti sejuk, mesin basuh dan ‘cook tap’.

Kerja-kerja pembinaan bagi kedua-dua kategori tersebut akan bermula pada pertengahan tahun ini dan dijangka siap pada penghujung 2019.

Recommended