AWANI Pagi: Nelayan mula “gantung enjin” masuk musim tengkujuh

  • 2 tahun lalu
Empat hingga enam episod hujan lebat yang signifikan dijangka berlaku dalam tempoh monsun timur laut atau musim tengkujuh di Malaysia, yang telah pun bermula pada Rabu dan dijangka berakhir pada Mac 2021.
Jabatan Meteorologi Malaysia atau (MetMalaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan semasa fasa awal monsun timur laut iaitu dari November sehingga Disember 2020, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Manakala mulai Januari 2021, episod hujan lebat dijangka lebih tertumpu di Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.
Menurut MetMalaysia, hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan kerap banjir.
Malah sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih buruk.
Selain itu, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora dan ombak besar di Perairan Laut China Selatan.