Amyza Aznan bangkit selepas dua tahun bersedih, akui rezeki datang selepas reda

  • 3 tahun lalu
Amyza Aznan mengakui pernah melalui titik paling bawah dalam hidup selepas suaminya Khairil Idzhar diserang strok tiga tahun lalu.

Menurut Amyza, biarpun belum sembuh sepenuhnya, namun dia bersyukur suaminya mempunyai semangat dalam melawan penyakit tersebut.

“Kesihatan terkini suami saya masih ditahap itu juga dan tidak ada perubahan langsung, satu peratus pun tiada, dia masih lagi mild strok sampai sekarang.

“Cuma kalau orang tengok dia dekat luar memang nampak okay tetapi di dalam dia separuh dalam kepala sampai kaki masih lagi strok.

“Dia sangat kuat, dia boleh bawa saya dari Kuala Lumpur ke Terengganu untuk shooting, pergi balik kemana-mana sahaja, dia sangat kuatlah,” ujarnya kepada mStar.

Tambah Amyza, pada awalnya dia juga pernah berasa sedih dan mempersoalkan ketentuan takdir yang terpaksa dilalui itu.

Namun selepas dua tahun, dia reda dan menyedari Allah membalas semua kesedihannya dengan berbagai nikmat lain.

“Tipulah kalau tak rasa frust, saya tertanya kenapa semua ini berlaku ketika kami sedang berada dalam keadaan stabil.

“Tapi bila kita diuji kita kena sabar dan bila kita reda sahaja Allah akan balas lebih daripada apa yang kita mahukan dalam masa sesaat saja. Anggap apa yang berlaku hanya sebab Allah nak naikkan lagi rezeki kita.

“Ya... untuk betul-betul reda bukan boleh sehari dua. Saya ambil masa dua tahun untuk reda,” ujarnya.

Disyorkan