Enam lagi ahli Umany disoal polis isu catatan FB berkait Agong
  • 3 years ago
Enam lagi ahli Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY) dipanggil ke balai polis untuk memberikan keterangan mereka berhubung siasatan kes Akta Hasutan.

Mereka adalah ahli jawatankuasa (AJK) pusat bagi persatuan itu.

Ini selepas presidennya Robin Yap Wen Qing dan naib presiden Tan Li Yuan memberikan kenyataan mereka pada hari Khamis lalu.

Kedua-dua mereka disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia berhubung artikel mengenai peranan Yang di-Pertuan Agong.

Pagi tadi sekitar jam 11.30 pagi, enam ahli tersebut mengadakan sidang media di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) JSJ Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid berkata polis menjalankan siasatan terhadap Presiden UMANY mengikut Akta Hasutan berhubung kenyataan kontroversi mengenai peranan Yang di-Pertuan Agong.

Universiti Malaya dilaporkan akan menjalankan siasatan berhubung satu hantaran di laman Facebook yang dimuat naik UMANY bertajuk ‘Yang di-Pertuan Agong tidak sepatutnya campur tangan dalam hal ehwal negara.’