COVID-19- Kes baru hanya 36, paling rendah sejak PKP, tiada kematian baru

  • 4 years ago
Buat pertama kali sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) diperkenalkan pada 18 Mac lalu, Malaysia hari ini mencatatkan kes harian Covid-19 baru paling rendah.

Dalam sidang medianya hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa hanya 36 kes baru dilaporkan setakat tengah hari tadi. Ini menjadikan angka kumulatif kes Covid-19 ialah 5,425.

Rekod pertambahan kes harian paling rendah adalah 35 kes, iaitu pada 14 Mac lalu.

Noor Hisham hari ini juga memaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian baru yang dilaporkan setakat tengah hari tadi. Ini menjadikan jumlah korban akibat wabak itu kekal pada 89.
Sementara itu, jumlah pesakit yang pulih bertambah 98 orang lagi, menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih dan dibenarkan keluar hospital ialah sebanyak 3,295 atau 60.7 peratus.