PAS tiada masalah, yang penting dapat bukti kemampuan - Tuan Ibrahim
  • 4 years ago
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah dengan bilangan wakil parti itu dalam Kabinet yang lebih kecil berbanding parti lain.

Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar berkata, apa yang lebih penting ialah kerjasama dengan parti lain bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional yang diharapkan rakyat Malaysia.

"Yang penting kita akan buktikan kemampuan kita," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet pertamanya di sini hari ini.

Selain Tuan Ibrahim, wakil PAS yang menyertai Kabinet ialah Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Lima wakil PAS yang dilantik sebagai timbalan menteri ialah Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim (Kementerian Sumber Manusia), Ahli Parlimen Rantau Panjang Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (Kementerian Wanita dan Keluarga); Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaary (Jabatan Perdana Menteri), Ahli Parlimen Tumpat Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu Ahmad Amzad Hashim (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi).
Recommended