Amirudin kritik Xavier bantah pemansuhan hutan simpan Kuala Langat
  • 4 years ago
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengkritik Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar kerana membantah rancangan kerajaan negeri untuk memansuhkan status Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

Bercakap pada sidang akhbar di Shah Alam semalam, Amirudin berkata Xavier atas kapasitinya sebagai menteri di kementeriannya serta anggota Parlimen Kuala Langat sepatutnya mengetahui mengenai cadangan itu.

“Saya pernah gazet kawasan-kawasan hutan untuk aset-aset air yang terlibat dengan PAAB (Pengurusan Aset Air Berhas), jabatan hutan, pihak PTG (Pejabat Tanah dan Galian), kita dah mengalih, saya ingat banyak ratus ekar, termasuk hutan simpan Ayer Itam yang melibatkan beberapa kawasan-kawasan tadahan air dan juga sebahagian daripada projek Langat 2..."

“Jadi bila ada satu teguran bahawa ini bertentangan dengan hasrat kerajaan negeri, dan kerajaan pusat mengekalkan jumlah hutan simpan, saya rasa tuduhan itu adalah tuduhan yang sangat terpesong, jauh tersimpang atau pun tak disedari lalai dan gagal difahami oleh mereka-mereka yang membantah,” katanya.

Xavier sebelum ini memberitahu Malaysiakini, selaku anggota parlimen Kuala Langat, beliau tegas menentang cadangan untuk mengeluarkan tanah berkenaan daripada warta hutan simpan untuk kawasan yang menjadi penempatan Orang Asli dan habitat hidupan liar.