"Pakatan Nasional itu apa? Kita Muafakat Nasional." - Mat Hasan
  • 4 years ago
Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan menyatakan mesyuarat malam tadi hanya membincangkan mengenai Muafakat Nasional dan bukan Pakatan Nasional.

"Pakatan Nasional itu apa? Tak tahu pula saya, tak pernah bincang pasal Pakatan Nasional, kita Muafakat Nasional."

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata demikian, ketika ditemui selepas mesyuarat Jawatankuasa Induk Perunding Muafakat Nasional di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, lewat malam tadi.

Sementara itu, Umno belum membuat sebarang keputusan berhubung usul menyokong Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang akan dibawa PAS pada sidang Parlimen Mac ini.

Bagaimanapun menurut Mohamad Hasan, beliau telah dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Jelasnya lagi, perkara itu akan dibawa kepada pengetahuan parti dan pendirian mengenainya akan dibuat bila tiba masanya.

Turut hadir sama dalam mesyuarat itu adalah Tuan Ibrahim dan Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa serta Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.
Recommended