Saham AirAsia, AirAsia X jatuh susulan dakwaan rasuah

  • 4 years ago
Saham AirAsia Group Bhd dan AirAsia X Bhd di Bursa Malaysia jatuh dalam dagangan aktif selepas laporan yang mendakwa eksekutif kedua-dua syarikat itu terlibat dalam rasuah.

Pagi ini, saham AirAsia Group turun 13 sen kepada RM1.30 manakala AirAsia X jatuh satu sen kepada 12 sen.

Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam satu kenyataan semalam berkata, ia akan meneliti kenyataan fakta dalam kes Regina menentang Airbus SE.

Ia merujuk kepada dakwaan terhadap AirAsia menempah pesawat Airbus yang menyaksikan salah laku berkaitan penajaan sebuah pasukan sukan yang dimiliki bersama oleh eksekutif AirAsia.

AirAsia dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu menafikan dakwaan itu. Syarikat penerbangan itu menyatakan ia tidak terlibat dalam sebarang penyiasatan atau diberikan sebarang peluang untuk menyediakan penjelasan kepada UK Serious Fraud Office (SFO).

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan terhadap dakwaan ke atas kedua-dua syarikat itu dengan menghubungi pihak berkuasa di United Kingdom.