SPRM lapor polis dakwa komplot jatuhkan Latheefa Koya
  • 4 years ago
SPRM membuat laporan polis berkaitan dakwaan komplot untuk menjatuhkan maruah ketua pesuruhjayanya Latheefa Koya melalui media sosial.

Butiran lanjutnya tidak didedahkan kepada media.

Bagaimanapun Malaysiakini difahamkan laporan itu berkaitan dengan penyiaran gambar tertentu di Internet.

Gambar itu disebarkan melalui Whatsapp selepas Latheefa mendedahkan rakaman perbualan telefon bekas perdana menteri Najib Abdul Razak berkaitan skandal 1MDB.

Laporan polis itu dibuat oleh pegawai khas bagi bahagian undang-undang Latheefa, Sasha Lyna Abdul Latif, di ibu pejabat polis daerah Putrajaya.

Dalam laporan itu, Sasha Lyna berkata, pada malam 10 Januari, dua hari selepas rakaman perbualan Najib didedahkan, dia menerima gambar berkaitan Latheefa melalui Whatsapp daripada seorang rakan peguam.

Bercakap kepada pemberita, pegawai itu berkata dia percaya penyebaran itu salah satu bentuk gangguan.

“Memang menyebarkan tohmahan untuk jatuhkan integriti dan maruah KP (ketua pesuruhjaya).

“Dan kami percaya ini satu intimidasi kepada KP atas apa telah dilakukan pada sidang media (8 Januari),” katanya.

Sasha Lyna berkata dia telah menyerahkan bukti berkaitan dakwaan komplot dan nama-mana individu dipercayai terlibat, termasuk seorang peguam.

Dia enggan mendedahkan nama-nama itu kepada media.