Patut dah siap projek Pan Borneo kalau BN berkuasa - Najib
  • 4 years ago
Bekas Perdana Menteri Najib Razak menyifatkan Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal tidak sepatutnya mengaitkan Allahyarham Abdul Razak Hussein dan Ghafar Baba bagi menutup kegagalannya membangunkan negeri itu sebelum ini.

Sebaliknya kata bekas presiden Umno itu, Shafie harus meletakkan kesalahan itu pada diri sendiri kerana peruntukan yang besar telah diberikan sewaktu beliau memegang jawatan menteri kemajuan luar bandar dan wilayah.

"Dia tak boleh salahkan orang lain, waktu dia jadi menteri luar bandar diluluskan satu peruntukan yang besar, saya dimaklumkan lebih kurang RM35 bilion telah diletakkan sepanjang tempoh jadi menteri luar bandar.

"Apa alasan dia bila projek lebuhraya Pan Borneo terbengkalai hari ini, itu diluluskan kerajaan perekutuan untuk rakyat Sabah, sepatutnya Pan Borneo sudah siap hari ini kalau BN berkuasa.

"Projek-projek seperti naik taraf sekolah daif RM1bilion yang saya dah luluskan untuk Sabah, apa kedudukan projek ini," katanya ketika ditemui ketika berkempen di Kimanis, malam tadi.

Kedua-dua contoh yang dipetik Najib adalah di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Projek Lebuhraya Pan Borneo terhenti seketika apabila pentadbiran Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan persekutuan.

Dakwaan Najib bahawa projek itu sepatutnya disiapkan sekarang tidak tepat kerana apabila ia dilancarkan pada tahun 2015 di Sarawak dan Sabah pada tahun 2016, projek itu disasarkan siap pada tahun 2023.