Jangan saman perokok saja, jagalah penyakit H1N1 juga - Bung

  • 4 years ago
Umno meminta kerajaan segera bertindak untuk mencegah penularan wabak influenza (H1N1) di Kimanis supaya ia tidak menjejaskan perjalanan pilihan raya kecil (PRK) di kawasan berkenaan.

Pengerusi Umno Sabah, Bung Mokhtar Radin secara berseloroh berkata Kementerian Kesihatan perlu segera bertindak dan tidak hanya memberi fokus kepada menyaman perokok di kedai makan.

Beliau turut mengesahkan seorang jentera Putera Umno dijangkiti wabak H1N1 dan kini sedang menerima rawatan di hospital.

"Seorang jentera Puteri Umno disyaki dijangkiti H1N1 di Membakut dan kini sedang dirawat di hospital.

"Saya harap Jabatan Kesihatan, Kementerian Kesihatan turunlah ke Kimanis, jangan hanya tumpu perokok di kedai kopi saja, ini perkara serius kerana melibatkan kesihatan orang awam," katanya ketika ditemui di Membakut hari ini.

Terdahulu, Penolong Setiausaha Puteri Umno Wilayah Persekutuan, Nurul Hazwani Haslan @ Awin disahkan menghidapi H1N1 selepas dua hari bertugas di Kimanis.